Panduan buat semua yang ingin mengarang surat kiriman tidak rasmi. Apakah cara/ format atau contoh surat kiriman tidak rasmi? Buat pengetahuan semua, menulis surat kiriman tidak rasmi adalah lebih mudah berbanding surat kiriman rasmi. Ia tidak perlu mematuhi format dan susunan yang banyak dan lebih bersifat kasual.
Surat merupakan suatu medium komunikasi konvensional yang masih digunakan secara meluas di Malaysia terutama surat kiriman rasmi. Ia dikarang untuk pelbagai tujuan seperti memohon pekerjaan, memberi alasan rasmi, dan sebagainya.
Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi : Teknik Dan Contoh
Untuk menulis surat kiriman rasmi, anda boleh menggunakan teknik-teknik berikut:
- Mulakan dengan bertanya khabar dan menggambarkan perihal kesihatan penulis.
- Sekiranya surat yang ditulis adalah surat balasan, pertama sekali jawab pertanyaan yang diajukan sebelum ini.
- Gunakan panggilan yang sesuai seperti ayahanda, bonda, kanda, adinda, dan sebagainya.
- Elakkan penggunaan kata ganti nama diri seperti aku, awak, atau kamu.
- Akhiri dengan ucapan salam dan penghargaan.
- Nyatakan keinginan untuk mengutus surat lagi.
Contoh
No. 19, Jalan Damak,
Taman Bukit Anggur,
43900 Sepang,
Selangor Darul Ehsan.
6 Ogos 2018
Menemui sahabat penaku Anas, yang kini berada bersama keluarga di Melbourne, Australia, semoga saudara dan keluarga berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Saudara Anas,
Apa khabar saudara dan keluarga di sana? Saya ingin memohon maaf kerana agak lambat membalas surat saudara tempoh hari. Saya kini sibuk dengan persediaan untuk menghadapi peperiksaan besar tidak lama lagi. Nampaknya saudara sangat berminat untuk mengetahui tentang kawasan pelancongan di Malaysia. Dalam surat yang pernah saya utuskan sebelum ini, saya ada bercerita tentang Bukit Fraser. Kali ini saya ingin ceritakan mengenai Pulau Langkawi pula.
Pulau Langkawi merupakan pusat pelancongan yang terletak di negeri Kedah, iaitu di utara semenanjung Malaysia. Terdapat banyak keistimewaan dan tempat menarik yang boleh dilawati oleh saudara. Antaranya termasuklah pemandangannya yang sangat memukau hati. Ini kerana Pulau Langkawi dikelilingi oleh pantai yang bersih, air laut yang tenang damai dan suasananya yang jauh dari hiruk-pikuk bandar. Saudara dapat menikmati keindahan suasana dan pantainya ini dengan berunjung sendiri ke Pulau Langkawi.
Pulau Langkawi juga terkenal dengan gelaran Pulau Legenda. Kisah berkenaan lagenda Mahsuri ini telah diceritakan sejak turun-temurun lagi melalui penceritaan orang zaman dahulu dan juga nenek moyang kami sendiri. Sejarah ringkasnya Mahsuri adalah seorang perempuan cantik yang telah dijatuhi hukuman bunuh akibat fitnah. Darah putih telah mengalir daripada tubuh Mahsuri ketika hukuman bunuh dijalankan. Beliau juga sempat mengenakan sumpahan terhadap Langkawi selama tujuh keturunannya supaya pulau itu menjadi padang jarang padang terkukur.
Sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang ada di Pulau Langkawi ini. Jikalau ada peluang dan kesempatan, akan saya ceritakan lebih lanjut tentang pulau ini. Gambar-gambar yang berkaitan dengan Pulau Legenda ini akan saya cuba hantar kepada saudara.
Setakat ini sahaja yang sempat saya tuliskan buat saudara nun jauh di sana. Akhir kata, sambutlah salam mesra daripada saya dan sekeluarga.
Yang Benar,
Faizal Huszayn
Diharap agar perkongsian Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi ini dapat menjadi rujukan yang berguna buat semua.